My Scrapbook: February 2011

Wednesday, February 23, 2011

Belajar Ilmu Ikhlas

"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.
"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."
"Tak payah, bawa sahaja karung guni."
"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
"Mari kita ke pasar!"Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
"Cukup?"
"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
"Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?"
"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"
"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"
"Tak buat apa-apa."
"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."
"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.
"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."
"Dengan memikul batu-batu ini?"
"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu..."
"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"
"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."
"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.

Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.



Cinta Rasul

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sesungguhnya, salafus soleh dahulu sentiasa berdoa: " Ya Allah, ampuni dosa-dosaku, ampuni nafas-nafasku yang tak rindu padaMu dan pada kekasihMu di masa lalu". Demikian keadaan mereka yang sentiasa memastikan setiap saat kehidupan diisi untuk mengingati Allah dan kekasihNya Rasulullah s.a.w seperti mana pesanan oleh Habib Ali al Jufri:

Matamu ini hidupkannya dgn kehidupan Baginda, jangan engkau memandang pada perkara yg haram,
Telingamu ini hidupkannya dgn kehidupan Rasulullah, jangan engkau mendengar sesuatu perkara dosa,
Lidahmu ini hidupkannya dengan kehidupan Rasulullah, jangan engkau berbicara melainkan ia dapat menyebabkan engkau mengingati Allah dan RasulNya,

Wahai hamba Allah yang banyak berdosa,
Hidupkan kehidupanmu dgn membaca kalam Allah,
Hidupkan kehidupanmu dgn sunnah Rasulullah,
Hidupkan kehidupanmu dgn hukum hakam Allah,
Hidupkan kehidupanmu dgn zikir dan ibadah pada Allah,
nescaya hidupmu kekal dlm rahmat Allah sentiasa,
sehingga Allah menghimpunkanmu bersama kehidupan sebenarnya di alam barzakh,
kemudian di hari akhirat bersama Nabi Muhammad,
kemudian di syurga firdausi yg tertinggi



Thursday, February 10, 2011

4 Perkara Yang Dimurkai Oleh Allah SWT

1. Membesarkan diri atau takabbur.

2. Hasad dengki.

3. Berdusta.

4. Batu api ( melaga-lagakan di antara dua pihak ).

4 Perkara Yang Dapat Membuka Pintu Rezeki

1. Beribadat pada waktu malam.

2. Banyak bersitighfar pada waktu sahur ( 1/3 malam ).

3. Banyak bersedekah.

4. Berwirid pada waktu pagi dan petang.

Hukum Meninggalkan Solat Wajib

Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”(al-Bukhari)
Huraian
1. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.

2. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.

3.Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.

4. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha’ solatnya yang tertinggal itu.