My Scrapbook
SweetMuslimah.com

Wednesday, October 13, 2010

Batasan Dalam Bergurau Senda

Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah !”

Riwayat Abu Daud

Huraian:

i) Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

ii) Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

iii) Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:

a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a.w.
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.

iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.

Wednesday, September 29, 2010

Long Silent

Lama betul rasanya tk mengemaskinikan blog ni..sebelum ni bulan Ramadhan tak ada masa pun nak mengadap komputer..lepas tu raya pulak and now sepanjang Syawal ni banyak la pulak rumah terbuka disana sini..Tahun ni rajin betul nak kesana kemari..walaupun hubby tk ikut, kita masih semangat nak jumpa kengkawan..(sebenarnya lagi senang kalau dia tk ikut..hehehe)..bukan apa mana tahu tahun2 mendatang tk dapat dah pelunag macam ni..betul tak?
so, oklah, maybe bila semua ni dah habis, kita akan cuba untuk update blog ni selalu..

5 Perkara Membuktikan Sifat Qanaah

Qanaah ialah menerima dengan cukup. Qanaah itu mengandungi 5 perkara:

1. Menerima dengan rela akan apa yang ada.

2. Memohon kepada Allah SWT tambahan dengan segera dan berusaha.

3. Menerima dengan sabar akan ketentuan Allah SWT.

4. Bertawakkal kepada Allah SWT.

5. Tidak tertipu dengan keindahan dunia.

Kitab Tasauf Moden-Prof.Dr.Hamka

Thursday, September 2, 2010

Hakikat Cinta

1. Cinta kepada kehidupan kiat akan lupa kematian.


2. Cinta kepada dunia kita kan lupa kepada akhirat.

3. Cinta kepada harta kita lupa kepada hari penghisaban Allah SWT.

4. Cinta kepada mahligai dan Istana kita akan lupa kepada kubur.

5. Cinta kepada manusia kita akan lupa kepada Yang Maha Pencipta.

Inginkan Bodyguard ?

Pada masa kini kerap kita dapati orang-orang yang ternama dan penting diiringi beberapa pengawal peribadi (bodyguard) ke mana saja mereka pergi. Bodyguard tersebut lazimnya lelaki yang berbadan besar, tegap dan bercermin mata hitam sekali pun mengawal pada malam hari. Mungkin di kalangan pembaca ada juga yang menginginkan bodyguard?


Sebenarnya setiap individu umat Islam mampu memiliki bodyguard tersendiri yang mengawalnya ketika tidur, bangun, makan, berkerja, bersukan dan pelbagai aktiviti harian lain. Bodyguard tersebut tidak dapat dilihat oleh musuh, tidak gentar kepada musuh dan dapat bergerak sebelum musuh membuka langkah. Mereka juga kalis peluru, tidak memiliki masa rehat dan yurannya adalah percuma. Lebih penting mereka amat jujur lagi amanah, mengawal tanpa terdetik langsung di fikiran untuk bertindak khianat atau belot. Bodyguard yang saya maksudkan ialah para malaikat.

Sebelum ini di bangku sekolah kita telah belajar tentang malaikat dan peranan-peranannya. Kita telah mengenali nama-nama sebahagian mereka seperti Jibrail yang membawa wahyu, Mikail yang mengatur hujan, Israfil yang ditugaskan meniup sangkakala pada Hari Kiamat, Malik yang menjaga neraka dan Ridwan yang menjaga syurga. Tidak ketinggalan ialah dua malaikat pencatat amal di sebelah kanan dan kiri kita, malaikat maut pencabut ruh serta Munkar dan Nakir yang bertanya soalan di dalam kubur.

Sebenarnya terdapat beberapa lagi peranan malaikat yang jarang-jarang diajar atau diterangkan. Salah satu dari peranan tersebut ialah sebagai bodyguard yang menjaga keselamatan kita. Peranan ini digariskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. [Surah al-Ra’d, ayat 11] Malaikat ini akan mengawal kita dari kejahatan makhluk nyata dan makhluk ghaib. Yang dimaksudkan dengan makhluk nyata ialah manusia dan haiwan manakala makhluk ghaib ialah jin, toyol dan pelbagai lagi yang lazim disebut-sebut oleh masyarakat.

Selain mengawal dari kejahatan makhluk, malaikat juga membuat beberapa tugas kawalan tambahan. Antaranya ialah mengawal kita agar sentiasa berada di bawah cahaya petunjuk Allah dan jauh dari suasana kegelapan kehidupan. Kawalan ini dilakukan oleh malaikat dengan cara berdoa kepada Allah. Allah berfiman: Dia-lah (Allah) yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu agar Allah) mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya yang terang-benderang (Islam). [Surah al-Ahzab, ayat 43]

Malaikat juga mengawal kita dari api neraka dengan cara berdoa agar dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya dan beriman kepada-Nya serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.” [Surah al-Mu’min, ayat 7]

Malaikat juga sentiasa membisik atau mengilhamkan kepada kita perkara-perkara yang baik lagi selari dengan tuntutan syari‘at Islam. Ini berbeza dengan syaitan yang sentiasa menghasut kita dengan perkara yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang peranan malaikat dan syaitan ini:

Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni manusia) ada sentuhan syaitan dan sentuhan malaikat. Ada pun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.

Maka sesiapa yang merasai sentuhan kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah). Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan (dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2988]

Oleh itu jika ada di kalangan pembaca yang terlintas di hatinya untuk bersedekah, maka itu adalah bisikan malaikat. Maka sebutlah Alhamdulillah dan teruskanlah bersedekah. Sebaliknya jika ada yang terlintas di hatinya keberatan bersedekah kerana bimbang menjadi miskin atau “entah apa yang orang itu akan buat dengan duit yang aku sedekahkan ni”, maka itu adalah hasutan syaitan. Maka sebutlah A’uzubillahi minash syaitan dan lawanlah hasutan tersebut dengan tetap bersedekah.

Di sini timbul persoalan, bagaimanakah untuk seseorang itu memperoleh bodyguard dari kalangan malaikat? Jawapannya, hendaklah dia beristiqamah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hendaklah dia memurnikan tauhid, berbuat baik kepada ibubapa, berdisiplin dalam ibadah, bersungguh-sungguh dalam pembelajaran, menjaga hubungan silaturahim, berakhlak mulia dan amanah dalam kerjaya. Tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada ibadah sehingga melalaikan perkara-perkara lain yang turut dituntut oleh Islam.

Apabila seseorang itu berpegang teguh kepada Islam secara lengkap dan menyeluruh, maka para malaikat akan menjadi bodyguardnya. Bahkan para malaikat akan menjadi makhluk yang setia membantu dan membelanya pada setiap waktu dan suasana. Allah s.w.t. berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka beristiqamah di atasnya, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (yang berkata):

“Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong dan pembela (Auliya’) kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.” [Surah Fussilat 41:30-31]