Firman Allah dalam (Surah al-Qadr 97: 2-3), maksudnya: Dan bukankah engkau (Muhammad) sudah mengetahui apakah kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.
Dalam merungkaikan maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabariy telah menukilkan beberapa tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan
ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).
Itulah kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah dirakamkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.
Selain itu, kelebihan Ramadan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menghidupkan kedua-duanya. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Nabi SAW sabda baginda, "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa yang yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari)
( pinjaman drpd blog ustaz shauqi othman )
0 comments:
Post a Comment