My Scrapbook
SweetMuslimah.com

Monday, November 26, 2012

Anaknya Anakku Jua

 
Author: ANARIF Anarif
Publisher: Kaki Novel

Nisa'...hidupnya normal, mempunyai pekerjaan tetap serta perhubungan yang direstui dengan teman lelaki yang bakal bergelar tunangannya beberapa bulan saja lagi. Satu panggilan telefon di hening pagi mengubah segala-galanya. Silamnya menjengah kembali, cuma kali ini, bukan tanpa kesan. Hadirnya bersama seorang bayi yang kini berada dalam tangannya. Luka lama berdarah kembali, bicara hati mula berbisik songsang. Apakah semuanya akan kembali normal? Mampukah Nisa' membuang prasangka silam dengan kehadiran Hana? Adakah Hana akan kekal bersama Nisa' walaupun ditentang hebat oleh uminya sendiri, Hajah Rubiah? Yang mana satukan pilihan Nisa'? Menjadi anak yang soleh, atau menjadi ibu mithali?

"Sampainya hati umi...Hana anak yatim piatu, umi. Berdosa kita membencinya!"

Irfan...silamnya, itulah hidupnya. Kali pertama bertatap wajah, hatinya sudah terpaut. Bayi itu membuatkan dia tersenyum kembali. Pertemuan demi pertemuan membuatkan hati bertambah sayang. Sukarnya untuk dia melepaskan, sukar lagi untuk dia mengakui apa yang terlintas di hati. Tapi dia mula keliru. Kerana Hana dia begitu, atau kerana Nisa' dia berubah? Irfan tiada jawapan pasti, namun dia yakin. Hana dan Nisa' harus dilindunginya, selagi nyawa dikandung badan, walau apa jua taruhannya, walaupun dirinya menjadi korban.

"Lepas kahwin, kita cerai. Jadi awak boleh jaga Hana, kan?"

Aku Yang Menanti

 
Author: HAIZA Najwa
Publisher: Karangkraf

Demi membalas dendam pada suami, Zaidura sanggup menukar nama menjadi Zeidra. Juga mengubah imej agar misi kesumatnya terhadap Adiwira berjaya dilunaskan.

Hati siapa yang tidak hancur luluh? Suami sendiri sanggup menjeratnya hingga ditangkap bersama bungkusan dadah di dalam bagasi ketika di Lapangan Terbang Dublin. Sudahnya, tiga tahun dia menjadi penghuni penjara di negara asing itu. Mujur Robin ada di sisi. Sering lelaki itu melawatnya dan berusaha agar dia dibebaskan. Sedangkan Adiwira ghaib tanpa khabar berita.

Zeidra kembali ke Kuala Lumpur dengan tekad. Adiwira harus disumbat ke tempat yang memenjarakannya selama ini. Sebaliknya, Adiwira yang tidak mengenali Zeidra mengatakan bahawa hidupnya menderita ditinggalkan isteri. Lara jiwanya kerana merindui Zaidura setiap detik. Zeidra kaget. Di mata suaminya itu dia nampak bergumpal seksaan yang ditanggung Adiwira. Dan ada sinar kejujuran. Jadi, apa yang berlaku sebenarnya?

Akhirnya Aku Kahwin!

 
Author: HERNA Diana
Publisher: Karangkraf

Didi-gadis comel yang periang.Dia tidak pernah kisah dengan pandangan orang lain yang sering memperlekehkannya.Baginya,dia tidak peduli semua itu asalkan tidak menyusahkan orang.Sebagai seorang insan, dia punya keinginan untuk mencinta dan dicintai.Dia tidak pernah jemu menanti cinta sejati walau hatinya sering dipermainkan.

Kemunculan Syafizi,menghuru-harakan hidupnya.Kata-kata ibarat bom nuklear yang keluar daripada mulut lelaki itu menyebabkan darjah kebenciannya pada Syafizi di tahap takat didih.Sesuka hati saja memanggilnya 'Debab'.Berhadapan dengan lelaki itu,dia tidak mahu kalah.Setiap ayat nuklear lelaki itu dibalas dengan ayat ala bom atom.

Pesan orang tua,jangan terlalu membenci.Bimbang nanti benci bertukar menjadi sayang.Yeke?Takkanlah Syafizi yang selalu cari pasal suka padanya.Mustahil!Daripada dia melayan lelaki mulut nuklear itu,lebih baik berchatting dengan Terhangat Di Pasaran.Walaupun mereka saling mengutuk,jejaka itu sudi berkongsi suka duka dengannya.Mungkin jodohnya dengan rakan chattingnya itu.Siapa Tahu?

Alahai, Mat Salih!

 
Author: ZAN Zarida
Publisher: Karangkraf

ZAFRI, kumbang dari Kanada sanggup terbang beribu kilometer untuk mencari Aira,bunga yang telah mencuri hatinya.Puas dicari,rupa-rupanya sang bunga ada di depan mata.Cuma takdir yang lambat menemukan mereka.Bunga yang lari dikejar duda beranak tiga akhirnya menjadi milik si kumbang.Hendak sangat majlis yang simple,TUHAN beri sungguh!Sudahnya, mereka bernikah di pejabat agama sahaja.

Zafri, mat salih yang tidak faham perkataan dan istilah tertentu sering salah faham membuatkan darah Aira naik.Panas baran dan sikap protes Aira yang berpanjangan benar-benar menguji kesabaran.Zafri memang mudah mengucapkan kasih dan mempamerkan sayang.Sebaliknya Aira lebih suka memendam perasaan.Kononnya hendak jual mahal.Walaupun sering menafikan,cinta yang hadir tetapi tidak boleh ditepis.

Dugaan datang menguji apabila mat salih sudah pandai cemburu dan merajuk.Betul!.Rahsia di sebalik cinta adalah mengenali dan memahaminya.Namun,wajarkah membiarkan suami panasaran dengan isteri sendiri?

Alahai, Mat Salih...kerana kau aku hampir gila!

Bersabarlah Dengan Ujian

Sesungguhnya setiap kesusahan, kesakitan, kemiskinan, ketidakselesaan, semuanya menggugurkan dosa-dosa kita orang yang beriman. Semakin kuat cubaan dan ujian, maka semakin tinggi kedudukan kita di sisi Allah SWT. Jangan bersedih dan jangan putus asa. Terimalah ujian dengan ikhlas disamping sentiasa berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya mengikut jenis penyakit yang kita hadapi. Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sementara dan tiada nilainya berbanding kehidupan hakiki di akhirat kelak..

Janganlah ada dikalangan kita yang hilang pertimbangan, menggunakan cara-cara yang diharamkan oleh Allah SWT untuk menangani masalah yang dihadapi. Berdoa, berusaha dan bergantung haraplah dengan Allah kerana Allah Maha Mendengar rintihan setiap hambaNya.

Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Tiga jenis doa dikabulkan oleh Allah SWT tanpa syak lagi; iaitu doa orang yang dizalimi, doa kedua orang tua, dan doa orang musafir (dgn tujuan yang baik)"
[H.R. Ahmad dan Abu Daud]

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Murah hati. Allah malu bila ada hambaNya yang menengadahkan tangan (memohon kepadaNya) lalu dibiarkan kosong dan kecewa."
[H.R. Al-Hakim]

Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Tiada seorang berdoa kepada Allah SWT dengan suatu doa kecuali dikabulkanNya, dan dia memperoleh salah satu dari tiga hal, iaitu dipercepatkan terkabulnya di dunia, disimpan untuknya sampai akhirat, atau diganti dengan mencegahnya dari musibah (bencana) yang serupa"
[H.R. At-Tabrani]